Sunday, October 03, 2004

Gadis Acheh berhati gundah
Menanti teruna menghulur tepak
Gula manis sirih menyembah
Adat dijunjung dipinggir tidak



Asap api embun berderai
patah galah haluan perahu
Niat dihati tak mahu bercerai
Kuasa Allah siapakah tahu



Anak teruna tiba di darat
Dari Makasar langsung ke Deli
Hidup di dunia biar beradat
Bahasa tidak dijual beli



Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Walaupon jauh beribu batu
Hilang di mata di hati jangan



Bukan kacang sebarang kacang
Kacang melilit si kayu jati
Bukan datang sebarang hajat
Datang membawa hajat di hati



Apa guna pasir setambun
Kalau tidak setinggi duduk
Apa guna kasih setahun
Kalau tidak seumur hidup



Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Hilang emak hilang saudara
Kerana kasih hamba turutkan



Pulau tengah pulau matang
Diantaranya Pulau cenang
Apabila melihat tuan datang
hati susah menjadi senang



Ikan berenang di dalam lubuk
Ikan belida dadanya panjang
Adat pinang pulang ke tampuk
Adat sirih pulang ke gagang


Pokok pinang ditanam rapat
Puyuh kini berlari-lari
Samalah kita menjunjung adat
Tunggak budaya semai dihati



warisan melayu jangan hilang di telan zaman




Sekadar teringat memori zaman sekolah. Pesta Pantun Sekolah-Sekolah Negeri Selangor 2001. Ishk2.. sampai negeri tue... terre.. huahauha.. :p

No comments:

Post a Comment